Riba Disebalik Pembelian Emas
Hari ini kita dapat mengelakkan riba dalam hutang piutang dengan menghentikan semua urusan dengan institusi kewangan konvensional. Namun itu belum cukup untuk meninggalkan riba sepenuhnya kerana riba wujud dalam kontrak jual beli menerusi urusniaga pertukaran barang tertentu.
Riba ini diterangkan melalui hadis-hadis antaranya hadis dari Ubadah b Samit berikut:
Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, kurma dengan kurma, garam dengan garam (ditukarkan) sesama jenis, pada kadar yang sama, secara tunai (spot), sekiranya berlainan jenis, maka jual belilah sesuka hatimu selama mana ia adalah pertukaran tunai.” - (Muslim, Abu Daud, al-Nasai, dan Ahmad)
Hadis ini memberitahu kita ada 6 jenis barang ribawi iaitu emas, perak, gandum, barli, kurma dan garam. Maka, pertukaran barang yang sama jenis perlu berlaku secara tunai dan sama nilai. Contohnya, emas 10 gram mesti ditukarkan dengan emas 10 gram juga. Gandum 10 kg mesti ditukarkan dengan gandum 10 kg juga.
‘Illah Bagi Emas dan Perak
Dari hadis ini juga ulama menerusi kaedah qiyas telah menyatakan ‘illah, bagi emas dan perak adalah matawang manakala 4 jenis barang yang lain pula ‘illahnya adalah makanan ruji.
Qiyas merupakan kaedah mengeluarkan hukum selepas sumber al-Quran, hadis, dan kata sepakat para ulama (ijma’). Kaedah ini memerlukan ulama mencari sebab atau ‘illah kenapa sesuatu perkara itu haram berdasarkan sumber al-Quran dan hadis.
Berdasarkan kaedah ini apa-apa perkara baru yang tidak disebut dalam al-Quran dan hadis yang dikenalpasti mempunyai sebab yang sama dengan hukum asal yang disebut dalam salah satu dari dua sumber tersebut, maka hukum asal itu terpakai untuk perkara baru itu tadi.
Ini bermaksud menggunakan analogi dari hukum asal diaplikasikan dalam situasi yang baru.Kita ambil contoh qiyas dalam pengharaman arak. Ulama menyatakan sebab arak itu haram adalah kerana arak memabukkan. Maka, apa-apa minuman yang memabukkan adalah haram.
Maka air tuak misalnya menjadi haram sekiranya air tuak itu memabukkan walaupun ia tidak dinamakan sebagai arak.
Seterusnya jual beli dan pertukaran barang ribawi yang berbeza jenis walaupun illahnya sama perlu berlaku secara tunai tetapi tiada syarat nilai juga mesti sama. Maka penjualan 10kg gandum dapat berlaku dengan 11kg barli dengan syarat mesti berlaku secara tunai.
Fokus Perbincangan Kita adalah Emas, Perak dan Matawang
Dalam hadis yang lain pula dari Abu Sai’d al-Khudri pula menyatakan:
Jangan kamu menjual emas dengan emas melainkan sama berat dan jangan dijual secara hutang melainkan mesti berlaku secara tunai. - (Bukhari)
Maka walaupun emas dan perak mempunyai ‘illah yang sama iaitu matawang tetapi emas dan perak dua barang ribawi yang berlainan jenis. Maka 10g emas dapat ditukarkan dengan 25g perak asalkan urusniaga ini berlaku secara tunai.
Inilah prinsip dan hukum asal dalam urusniaga barang ribawi.
- Barang ribawi yang berlainan jenis dan berbeza ‘illahnya maka kita bebas berurusniaga mengikut cara yang kita mahu. Berbeza nilai mahupun berjual beli secara hutang. Seperti 5g emas ditukarkan dengan 50kg gandum.
- Barang ribawi yang berlainan jenis tetapi ‘illahnya sama maka kita perlu berurusniaga secara tunai sahaja dan perbezaan nilai adalah dibenarkan. Seperti 25g perak ditukarkan dengan 1g emas ataupun 10kg gandum ditukarkan dengan 5kg kurma.
- Barang ribawi yang sama dan sama ‘illahnya maka kita perlu berurusniaga secara tunai dan sama nilai. 1g emas ditukarkan dengan 1g emas. 1kg kurma ditukarkan dengan 1kg kurma.
Bagaimana dengan Isu Kualiti?
Timbul persoalan kalau 1g emas 99.9 ditukarkan dengan 2g emas 91.6 atau 1kg gandum gred A ditukarkan dengan 2kg gandum gred B? Adakah dua barang yang berbeza kualiti pun mesti sama nilai pertukarannya?
Situasi ini pernah berlaku pada zaman Rasulullah saw sebagai pedoman hukum kepada kita semua.
Dari Abu Sa’id al-Khudri, satu hari Bilal r.a. membawakan Nabi saw 1 sa’ (timbangan kurma) kurma yang berkualiti dan baginda pun bertanya sumber kurma tersebut. Bilal pun menjawab, “Saya ada 2 sa’ kurma yang berkualiti rendah dan saya tukar dengan 1 sa’ kurma berkualiti ini.”
Lantas baginda pun berkata, “Tidak! Ini adalah riba, jangan buat begitu. Kamu sepatutnya menjual dulu 2 sa’ kurma berkualiti rendah dan hasil jualannya barulah digunakan untuk membeli kurma yang berkualiti tinggi.” - (Muslim & Ahmad)
Ada satu lagi hadis lain yang direkodkan dalam Shahih Bukhari, Muslim dan Nasai’ yang membawa prinsip yang sama. Maka kita perlu faham bahawa barang ribawi yang sama jenis walaupun berbeza dari sudut kualiti maka hukumnya tetap sama jika mahu membuat pertukaran sesama jenis.
Inilah prinsip asas dan hukum asal riba jual beli yang kita mesti tahu dan amalkan. InsyaAllah kita akan bincangkan aplikasi qiyas riba jual beli ini dalam bentuk-bentuk pelaburan semasa seperti pelaburan emas, perak, matawang (forex) dan juga koleksi numismatik.