Bisnes & Nikmat Kerja Keras
Assalamualaikum, salam sejahtera kepada Tuan Puan, para usahawan dan bakal usahawan yang sentiasa disayang Tuhan.
Apabila membuat keputusan berhenti kerja makan gaji bagi berbisnes sepenuh masa, bermaksud kita memilih bagi bekerja lebih keras daripada sebelumnya, dan bersedia menghadapi segala jenis cabaran mental, fizikal dan emosi.
Bisnes adakalanya disalah tafsir sebagai jalan keluar daripada situasi berat, dan beban kerja yang berlaku dalam kerjaya makan gaji. Berputus asa dengan kerenah majikan, bosan dengan politik pejabat, berasa gaji yang diperoleh tidak berbaloi berbanding kerja yang diusahakan, dan pelbagai alasan lagi diberikan.
Pengalaman Hijrah – Makan Gaji ke Bisnes Sendiri
Mohon izin saya berkongsi kisah. Saya nekad berhenti kerja makan gaji pada hujung tahun 2007. Kerja saya yang terakhir adalah sebagai Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Kerja yang saya paling suka, malah inilah kerja makan gaji paling lama pernah saya lakukan, iaitu selama empat tahun.
Sebelumnya, paling lama saya bertahan 10 bulan sahaja di sesebuah tempat kerja. Menjadi jurulatih PLKN – duduk sepenuh masa di dalam kem, mendepani kerenah pelatih yang pelbagai latar belakang kehidupan, berurusan dengan pegawai tentera dan awam, tidur tidak tentu masa dan pelbagai lagi kisah manis pahit yang dihadapi menjadikan ia sebagai kerjaya makan gaji terbaik dan paling berharga pernah saya alami.
Nekad berhenti dari PLKN semasa saya masih diamanahkan sebagai Ketua Jurulatih Modul Kenegaraan & Khidmat Komuniti. Dalam fikiran saya, bukanlah kerana bosan atau rasa terbeban dengan kerja menadah muka kepada cahaya matahari dan embun itu.
Saya berhenti kerana berfikir, ‘Aku sudah empat tahun melakukan kerja ini. Aku mahu kerja begini sehingga bila?’ Ya, saya mahu perubahan!
Bermula tahun 2008, saya bergerak sendirian dalam bisnes. Sejak itu, saya bekerja keras menempatkan kompeni saya dalam industri latihan. Saya ke sana ke sini menyertai pelbagai kursus dan bengkel berkaitan. Saya sewa ruang pejabat dan menjadikannya bilik latihan yang kecil.
Hasil Kerja Keras Selama 3 Tahun
Saya beli , rujuk dan baca berpuluh-puluh buku dalam bidang bisnes dan latihan, . Saya mula aktif dalam Facebook dan berkawan dengan orang-orang hebat dan berjaya. Waktu dan tarikh mula tidak menentu.
Makan dan tidur mula berterabur. Semuanya saya kuatkan juga kerana bisik saya pada hati,
‘Sakit ini hanya pada permulaan, dan aku tidak akan berpatah balik!’
Alhamdulillah, empat tahun bekerja keras dalam bidang yang mencabar ini, Tuhan beri rezeki kepada saya bagi menubuhkan kompeni kedua iaitu Hero Edutaining Services, membuka Kedai Buku Bacha di Kuala Pilah, dan terkini, mengubah suai bilik latihan yang ada komputer menjadi bilik latihan bentuk kelas dan dinamakan Akademi Hero.
Ini adalah hasil berbisnes bukan kerana putus asa makan gaji. Ini adalah hasil kerja keras.
Persepsi ‘bisnes adalah jalan keluar daripada tekanan kerja makan gaji’ adalah salah sama sekali. Tidak ada kerja yang tiada tekanan. Bergantung kepada kita bagaimana mengendali, menghadapi dan mengawalnya.
Melihat kawan-kawan yang berbisnes mempunyai masa lapang yang banyak, waktu kerja yang amat fleksibel, pendapatan bersih terus masuk ke poket sendiri, juga menjadi antara penyumbang hati kita terdorong mengikut jejak mereka.
Realiti Bisnes – Kerja Keras Kunci Kejayaan
Ketahuilah, Tuan Puan yang saya hormati. Bisnes tidak semudah yang dilihat. Malah, saya percaya ramai ahli bisnes yang bersetuju dengan kenyataan saya ini iaitu, ‘bisnes memerlukan kerja keras yang berganda-ganda, berbanding kerja makan gaji.’
Tuan Puan, dalam bisnes, tiada pelanggan bermaksud tiadalah makan.
Dengan rendah diri, saya berpesan; apabila ada keinginan berbisnes, perlu bersedia untuk kerja keras. Keluarkan sementara dari kamus kehidupan kita, istilah rehat dan cuti. Maka keluarga perlu diberi penjelasan supaya mereka mengerti.
Saya menyampaikan pesan ini kerana sudah ramai kakitangan kerajaan dan swasta yang berhenti kerja dan mahu berbisnes, berkelakuan seperti bayi yang menunggu disuap makanan. Jika ibunya tidak menyuap, maka dia akan menangis kelaparan.
Maklum sahaja, ketidakupayaannya berfikir dan bergerak menghalang dia mencari dan menyuap makanan ke mulut sendiri.
5 Tip Kejayaan Bisnes
- Usah mengharap orang memberi ilmu, sebaliknya kita sendiri perlu kerja keras mencari dan mendapatkan ilmu.
- Usah mengharap orang menyediakan semuanya, sebaliknya kita sendiri perlu kerja keras mendapatkannya.
- Usah berfikir mahu copy paste hasil kerja orang berjaya, sebaliknya usaha dan kegigihan orang berjaya itu yang perlu kita copy paste dalam diri.
- Usah harap orang menyuap, kita sendiri belajar cari makanan di dapur dan suap ke mulut.
- Usah harap orang berikan ikan, kita sendiri beli joran dan mata kail, dan pancinglah ikan untuk dimakan.
- Usah duduk mengharap malaikat membawa turun syurga ke rumah kita, sebaliknya kita yang perlu berusaha dan kerja keras sehingga Tuhan perkenankan para malaikat mengangkat kita ke syurga.
“Bekerjalah kamu untuk duniamu seakan kamu hidup selamanya, dan bekerjalah kamu untuk akhiratmu seakan kamu mati esok hari” [Abdullah bin Umar Al-Khattab]
Mudah-mudahan dengan kegigihan dan kerja keras, bisnes Tuan Puan akan menjadi lebih sukses, malah suksesnya membawa hingga ke sorga.
Jumpa lagi!