Bisnes & Nikmat Risiko
Assalamualaikum, salam kebahagiaan buat Tuan Puan, pembaca Majalah Niaga yang dirahmati Tuhan. Didoakan Tuan Puan semua sentiasa berada dalam kesihatan dan kebahagiaan hendaknya.
Sejak kebelakangan ini, saya kerap mendapat berita mengenai rakan-rakan saya yang nekad mengambil keputusan berhenti kerja makan gaji, bagi berpindah ke bidang yang serba mencabar iaitu keusahawanan.
Kepada mereka, setinggi tahniah saya ucapkan kerana telah berjaya menyahut cabaran diri sendiri dan berani mengambil risiko!
Bisnes Oh Bisnes!
Terkenang semasa saya nekad berhenti kerja makan gaji, bagi memulakan bisnes sendiri beberapa tahun lalu.

Jujurnya, pada waktu itu, saya tiada wang simpanan yang boleh dijadikan modal. Saya tidak mendapat sokongan penuh daripada keluarga. Saya bukan siapa-siapa. Sekadar seorang bekas Jurulatih Program Latihan Khidmat Negara.
Apabila saya mengatakan yang saya hanya bermodalkan keinginan yang kuat dan keyakinan yang tinggi kepada diri sendiri bagi meneruskan impian saya, ramai yang tidak percaya. Tidak mengapa, mereka berhak bagi tidak percaya. Senyum sahaja.

Bisnes oh bisnes! Seribu satu pertimbangan muncul secara automatik dalam pemikiran manusia, apabila mula memasang niat mahu berbisnes.
Biar saya berterus terang. Bisnes adalah satu aktiviti yang amat tinggi risikonya. Ini benar, kerana saya sendiri pernah mengalaminya.
Ditipu, dicerca, diperlekeh, ditolak, pembatalan urus niaga, diminta memberi rasuah, pelaburan habis hangus, kesilapan dalam belanjawan, kesilapan strategi pemasaran sehingga membawa kepada kerugian yang berlipat ganda, disindir keluarga, diketawakan rakan, dan pelbagai lagi risiko yang jika dikenang-kenangkan, pasti akan membunuh impian saya bergelar ‘tauke’ kepada diri sendiri.
Perkara Berisiko Yang Sering Kita Lakukan
Mari kita fikirkan tiga perkara yang sering kita lakukan dalam kehidupan dan mempunyai risiko yang amat tinggi.
1. Makan. Apakah risiko makan? Obesiti, keracunan, kelesuan, disantau, termakan makanan haram, pembaziran dan sebagainya. Ya, kita tahu itu. Namun, kita masih juga makan setiap hari. Mengapa?
2. Tidur. Apakah risiko tidur? Terlewat bangun, terlepas waktu sembahyang, terlebih tidur sehingga pening, kelesuan, dirompak, tidak sedar rumah terbakar, tidak sedar ditimpa kemalangan, dan banyak lagi. Ya, kita tahu itu. Namun, kita masih juga tidur. Mengapa?
3. Keluar rumah. Apa pula risikonya? Diragut, diculik, dirompak, sesat, dilanggar kenderaan, terjatuh dalam parit, terperangkap dalam kesesakan, dan lain-lain. Ya, kita tahu itu. Namun, kita masih juga keluar rumah. Mengapa?
Jawapannya mudah. Kita berkehendak melakukannya, kerana apabila kita melakukannya, kita mendapat kepuasan dan kebahagiaan. Nikmat makan, nikmat tidur, nikmat keluar rumah dan berjalan-jalan. Alangkah bahagianya!
Kenapa Tidak Kita Menghadapi Risiko Bisnes?
Jadi, sekiranya kita sanggup menghadapi risiko yang dahsyat jika kita makan, tidur, dan keluar rumah setiap hari – mengapa tidak kita mencabar diri sendiri bagi menghadapi risiko-risiko bisnes?
Tidak mungkin Nabi Muhammad berbisnes, jika ia bukan sesuatu yang baik dan boleh diteladani oleh kita umatnya. Tidak mungkin beliau berkata bahawa 90% punca rezeki datangnya daripada perniagaan, sekiranya ia memudaratkan kita umatnya.
Tepuk dada, tanyalah iman. Baca dengan mata hati. Baca dengan nama Tuhanmu yang menciptakan.
Salam kebahagiaan sampai sorga. Jumpa lagi!