
Dalam kita ghairah ingin melaksanakan sistem matawang berasaskan emas dan perak ini, beberapa persoalan perlu diberi perhatian. Yang pertama dan utama, apakah sebab sebenar kita memilih untuk kembali menjadikan emas sebagai piawai kepada matawang? Adakah kita mahu melaksanakan sistem kewangan emas dan perak ini kerana manfaatnya atau sebab-sebab lain?. Inilah yang akan dikupas oleh Sautun Nahdhah pada kali ini di dalam ruang yang serba terbatas ini.
Sejarah dunia menjadi saksi bahawa sistem emas dan perak telah digunakan sejak sekian lama sehinggalah ia ditinggalkan pada 1914 apabila negara-negara yang terlibat dalam Perang Dunia Pertama telah sewenang-wenangnya mencetak wang kertas bagi perbelanjaan sewaktu perang. Pada 1933, Amerika Syarikat kerana ‘Great Depression’nya telah membatalkan piawaian emas untuk mengatasi masalah ekonomi ketika itu. Pada Julai 1944, emas kembali diambil menjadi piawai untuk menstabilkan kadar tukaran antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua. Akhir sekali penggunaannya telah dikuburkan pada 1971 dengan pembatalan sistem Bretton Woods.
Jika diteliti, AS memainkan peranan yang paling penting di dalam menghidup dan mematikan sistem emas ini. AS yang telah lahir menjadi gergasi ekonomi dunia setelah Perang Dunia Kedua telah diterima dunia sebagai ‘hakim’ dalam segala hal, termasuk dalam menentukan piawai matawang dunia. ‘Hakim’ ini dengan begitu licik telah berjaya menukar dan menjadikan matawangnya sebagai standard ukuran yang baru. Setelah pertukaran piawai inilah dunia tak habis-habis dilanda krisis matawang. Pemansuhan nilai tara Dolar AS kepada emas dan penggunaan wang ‘fiat’ inilah yang sebenarnya menjadi punca kepada krisis-krisis ekonomi dunia, yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dengan matawang.
Krisis demi krisis yang berlaku ke atas ekonomi dan matawang telah menyebabkan negara-negara di dunia mencari penyelesaian alternatif. Negaranegara Eropah adalah antara yang sudah tidak tahan dengan ‘karenah’ AS. Mereka mula sedar bahawa AS berjaya menguasai perekonomian dunia kerana kekuatan yang dimilikinya. Menyedari punca kekuatan AS tersebut, negara-negara Eropah ini pun telah mengorak langkah yang sama, mencari kekuatan lain. Mereka sedar bahawa jika mereka bertindak sendirian, AS akan dengan mudah ‘membaham’ mereka. Oleh yang demikian, mereka bersepakat untuk bersatu dan mula berunding untuk mengadakan perjanjian kesepakatan. Setelah melalui beberapa proses yang panjang, maka lahirlah Kesatuan Eropah (EU). Semua bangsa telah mengiktiraf bahawa EU merupakan satu kekuatan baru dunia, bukan setakat di bidang ekonomi sebagaimana matlamat asal penubuhannya, malah telah berkembang kepada lain-lain kekuatan. Mahu tidak mahu, AS juga ‘terpaksa akur’ dengan saingan barunya ini. Dengan gabungan baru ini (sekarang 25 buah negara kesatuan), mereka telah berjaya menundukkan kekuatan AS. Ternyata, gabungan negara-negara Eropah yang didirikan atas dasar manfaat bersama ini, telah membuahkan hasil.
Persoalannya – adakah emas dan perak hanya perlu digunakan sebagai alternatif kepada sistem matawang sekarang? Atau ternyata kerana kestabilan nilai yang dimiliki oleh kedua-dua bahan logam tersebut, berbanding Dolar AS? Atau ianya adalah kerana ingin mengelak dari ditindas oleh negara-negara Kapitalis yang zalim? Atau kerana terbukti emas dan perak secara fizikal boleh mendatangkan manfaat bila digunakan berbanding wang kertas?Seputar Sejarah Dinar Dan Dirham
Menurut Syeikh Abdul Qadim Zallum di dalam kitabnya, Al-Amwal Fi Daulatil Khilafah (1983), dinar dan dirham telah dikenali oleh orang Arab sebelum datangnya Islam, kerana aktiviti perdagangan yang mereka lakukan dengan negaranegara sekitarnya. Ketika pulang dari Syam, mereka membawa dinar emas Romawi (Byzantium) dan dari Iraq mereka membawa dirham perak Parsi (Sassanid). Kadang-kadang mereka membawa pula sedikit dirham Himyar dari Yaman. Jadi saat itu banyak matawang asing masuk ke Hijaz; bagaimanapun yang paling banyak adalah berupa dinar emas Romawi dan dirham perak Parsi.
Namun begitu, orang Arab saat itu tidak menggunakan dinar dan dirham tersebut menurut nilai nominalnya melainkan menurut beratnya. Ini adalah kerana matawang yang ada hanya dianggap sebagai kepingan emas atau perak. Mereka tidak menganggapnya sebagai matawang yang dicetak, mengingat bentuk dan timbangannya yang tidak sama dan kerana kemungkinan terjadinya penyusutan berat akibat peredarannya. Kerana itu, untuk mencegah terjadinya penipuan, mereka lebih suka menggunakan piawaian timbangan khusus yang telah mereka miliki iaitu auqiah, nasy, nuwah, mitsqal, dirham, daniq, qirath dan habbah.
Setelah Islam datang, Rasululllah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengakui (men-taqrir) berbagai muamalat yang menggunakan dinar Romawi dan dirham Parsi. Taqrir (pengakuan) dari Rasulullah inilah yang telah memperjelaskan kepada kita bahawa inilah sistem matawang Islam dan sekaligus menjadi hukum syara’ tentang kewajiban penerapannya. Sehubungan dengan dinar dan dirham ini, Rasulullah juga telah mengakui standard timbangan yang wujud pada waktu itu hendaklah diukur dengan menimbang berat dinar dan dirham. Tentang ini Rasulullah bersabda, “Takaran adalah takaran penduduk Madinah dan timbangan adalah timbangan penduduk Makkah” [HR Abu Daud, an-Nasa’i, al-Baihaqi]
Pada tahun 75 Hijriyyah (695M), Khalifah Abdul Malik Bin Marwan mencetak dirham khusus yang bercorak Islam, dengan lafaz-lafaz Islam yang ditulis dengan huruf Arab gaya Kufi. Bentuk dirham Parsi tidak dipakai lagi. Dua tahun kemudian, Khalifah Abdul Malik mencetak dinar khusus yang bercorak Islam setelah meninggalkan dinar Romawi. Selain itu, beliau mengarahkan pula untuk menghapuskan gambar-gambar manusia dan haiwan pada dinar dan dirham dan diganti dengan lafaz-lafaz Islam. Lafaz lafaz Islam yang tercetak itu misalnya kalimat ‘Allahu Ahad’ dan ‘Allahu Baqa’’. Ada dinar dan dirham yang ditulis ‘La ilaha illallah’, sedang pada sisi sebaliknya terdapat tarikh cetak serta nama Khalifah atau Wali (Gubenur) yang memerintah pada masa percetakan matawang tersebut. Sejak saat inilah kaum muslimin mempunyai dinar dan dirham yang tersendiri yang digunakan sebagai matawang rasmi negara. Fakta ini terus berlanjutan sepanjang sejarah sehinggalah menjelang Perang Dunia Pertama ketika dunia menghentikan penggunaan emas dan perak sebagai matawang.
Model perlaksanaan dinar emas yang cuba diketengahkan pada ketika ini masih lagi meletakkan emas dan perak hanya sebagai bentuk fizikal dan bukannya sebagai piawai nilai matawang itu sendiri. Ini bermakna, dinar emas dan dirham perak yang cuba dilaksanakan masih lagi dinilai berdasarkan matawang sedia ada. Sebagai contoh, jika kita ingin membayar gaji RM1,000 kepada seorang pekerja di dalam bentuk emas, maka di dalam mengira gaji ini, jumlah emas akan dikira dan diukur agar bersamaan dengan jumlah RM1,000 tersebut. Setelah itu, wang emas akan dibayar kepada pekerja tadi yang mana nilainya sama dengan RM1,000. Isunya di sini ialah, apakah yang telah dijadikan sebagai sandaran, emas atau RM? Jelas sekali bahawa yang dijadikan sandaran (untuk nilai tukar) di sini ialah Ringgit Malaysia (RM1,000 tadi), bukannya emas. Dengan kata lain, jumlah emas akan ditukar agar berjumlah RM1,000. Walhal, di dalam Islam, yang sepatutnya dijadikan sandaran adalah emas, bukannya Ringgit Malaysia. Inilah yang dimaksudkan dan dikehendaki oleh Islam - menjadikan emas dan perak sebagai sandaran, bukan sebaliknya. Ini hanyalah secebis dari contoh betapa rosaknya perlaksanaan Islam apabila ingin diterapkan di dalam Sistem Kapitalis. ‘Sistem’ Islam akan tetap berada di bawah ketiak Kapitalis. Inilah hakikat yang perlu disedari oleh kaum muslimin.
Jika dulu Dr. Mahathir menyarankan supaya emas diperdagangkan di peringkat antarabangsa sahaja, bukan domestik, kerajaan Kelantan sebaliknya ingin melaksanakan sistem emas dan perak ini di peringkat negeri sahaja. Dari perspektif siyasah ekonomi, perlaksanaan yang bersifat setempat semata-mata akan menyebabkan keterbatasan (jika tidak kemustahilan) untuk kita mengawal nilai emas dan perak di dalam pasaran. Kedua-dua faktor ini akan menyebabkan dinar emas dan dirham perak tetap tidak bebas daripada pengaruh nilai matawang seperti Dolar AS, Ringgit Malaysia mahupun matawang-matawang lainya. Ia tetap akan dapat dimanipulasi dengan begitu mudah oleh Sang Kapitalis. Saudaraku! Sistem yang Allah ciptakan ini adalah untuk diterapkan dibumiNya secara menyeluruh. Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak pernah memerintahkan kita untuk menegakkan DeenNya ditempat-tempat tertentu sahaja. Islam bukan agama yang bersifat ‘local’. Islam adalah Deen yang ‘universal’. Allah tidak memberikan hak ke atas manusia untuk memilih tempat penerapannya sesuka hati manusia. Deen Allah ini wajib diperjuangkan dan ditegakkan di mana sahaja penjuru bumi yang kaki kita berpijak di atasnya. Apabila Islam diterapkan sebagaimana yang Allah perintahkan, maka ia akan membawa rahmat, bukan sahaja ke Kelantan malah ke seluruh alam.


























