Sudah Tiba Masanya Perdagangan Beralih Kepada Penggunaan Dinar Emas,
Dr Mahathir
LANGKAWI, (Bernama) — Perdagangan pada peringkat antarabangsa kini sepatutnya sudah beralih kepada penggunaan dinar emas berikutan nilai dolar US yang semakin merosot, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.Katanya nilai emas tidak mudah turun menyebabkan nilainya lebih sesuai digunakan pada peringkat antarabangsa berbanding penggunaan dolar Amerika ketika ini.
“Sebelum ini, US$35 bersamaan satu aun emas. Hari ini, satu aun emas bersamaan US$1,700. Ini bermakna dolar US sudah merosot. Inilah masalah yang dihadapi oleh mata wang fiat…nilainya merosot dengan pantas dan banyak tetapi emas tidak susut nilai sedemikian. Jadi, apabila anda membeli dan menjual menggunakan dinar emas, anda mendapat nilai sebenarnya,” katanya.
“Ini tidak bermakna kita perlu membawa emas dan membuat pembayaran dagangan berasaskan nilai emas yang boleh dilakukan melalui transaksi lain,” katanya.
Katanya apa yang penting sistem Islam itu berkembang dengan sendiri dan negara-negara Islam menggunakannya untuk manfaat negara-negara Islam.
























