Beberapa hari sebelum menjelang Ramadan, beratus-ratus penduduk Libya beratur di bank dengan harapan dapat mengeluarkan duit bagi perbelanjaan sepanjang bulan puasa.
Namun ramai yang pulang dengan perasaan hampa kerana kebanyakan bank di Benghazi mengalami krisis kecairan aset akibat pemberontakan selama lima bulan terhadap Kolonel Muammar Gaddafi.
“Lima hari berturut-turut saya datang tetapi masih tidak dapat wang,” kata polis bersara yang cuba mengeluarkan 200 dinar Libya (RM495) walaupun pencennya yang cuma 350 dinar (RM860) sebulan sudah empat bulan tidak berbayar.
Seorang lagi pesara, Messe Abdullah, berkata dia terpaksa berjimat cermat supaya wang perbelanjaan diberikan dua anak lelakinya boleh bertahan hingga hujung bulan bagi menyara keluarganya yang besar.

“Perbelanjaan pada Ramadan agak mahal bagi orang seperti saya yang mempunyai keluarga besar. Dua anak lelaki saya terpaksa menanggung 15 mulut dalam keluarga kami,” kata lelaki berumur 65 tahun itu.
Khamis lalu, seramai 100 orang berkumpul di hadapan Bank BNP Paribas, masing-masing berdoa dipanggil masuk ke dalam bank berkenaan untuk mengeluarkan wang.
“Keperluan pada Ramadan memang bertambah tetapi sedihnya kami tiada wang,” kata Yasmin Muhammad, 62.

Menurutnya, perbelanjaan untuk sebuah keluarga yang besar pada Ramadan biasanya boleh mencecah 3,000 dinar (RM7,340) - atau 10 kali lebih tinggi berbanding purata gaji kakitangan kerajaan.
Najit Ali, 35, yang bertugas sebagai guru dan mempunyai enam anak remaja, masih belum berputus asa untuk mendapatkan wang walaupun sudah 10 hari beratur di bank tanpa sebarang hasil.
“Sejak April saya tidak menerima gaji. Memang saya sudah tidak mempunyai wang tunai. Kami boleh bertahan sampai sekarang kerana Allah itu Maha Pemurah, tetapi saya tetap bimbang. Hidup kami benar-benar susah, barang pula mahal,” katanya.
Sesetengah daripada pemegang akaun di bank berkenaan yang sudah beratur sejak beberapa minggu lalu mula hilang sabar. Kebanyakannya tidak menerima gaji sejak April atau Mac lalu, sementara sesetengahnya lagi merungut hanya boleh mengambil sebahagian kecil daripada gaji mereka kerana bank mengehadkan pengeluaran kepada 100 hingga 200 dinar (RM245 hingga RM490) seorang.
“Gaji saya 600 dinar (RM1,470) sebulan, tetapi saya hanya boleh keluarkan 100 atau 200 dinar saja,” kata Naji Mohammed, 32.
Dalam keluh kesah itu, seorang pemandu, Ahmad Misrati cuba berseloroh dengan berkata, “Mujur Gaddafi sudah membiasakan kami dengan kemiskinan. Orang yang sangat bergantung kepada kerajaan dan tiada pekerjaan sampingan mengalami kesan yang paling teruk dan ini membabitkan satu pertiga daripada penduduk Libya,” katanya.
Sesetengah pelanggan bank Al-Wahda merungut mereka ditolak ke sana ke sini dari satu cawangan ke cawangan lain tetapi masih tidak berjaya mengeluarkan simpanan mereka.
“Saya datang dari Jalo dan sekarang berada di ibu pejabat (bank) pun saya masih gagal mendapatkan wang,” rungut seorang wanita.
Salah seorang kakitangan bank yang enggan dikenali mengulas keadaan ini.
“Semua pelanggan datang untuk mengambil wang mereka. Tapi tiada siapa yang tahu di mana sebenarnya wang kami. Apa yang boleh kami lakukan?” katanya.
Pengurus Pembangunan Bank of Commerce, Hamed Salhin Elraeid, berkata masalah besar yang dihadapi sekarang ialah ketidakcukupan wang tunai kerana kebanyakan bank beribu pejabat di Tripoli di mana sebahagian besar dana disimpan di sana.
Selain itu katanya, bank tidak boleh menjana sendiri wang tunai daripada cek gaji yang dihantar sektor swasta atau awam. Walaupun orang ramai membeli-belah menggunakan wang tunai, golongan peniaga tidak menyimpan wang mereka di bank kerana ia mahu digunakan untuk membeli barang dari luar negara.
Masalah ini lebih meruncing dengan adanya undang-undang yang mengkehendaki bank menyimpan 20 peratus daripada aset mereka di bank pusat Libya.
“Ramai peniaga sudah berhenti memasukkan wang ke dalam akaun mereka dan kebanyakan wang ada di bank pusat di Tripoli. Kami juga menunggu masyarakat antarabangsa membantu Majlis Transisi Kebangsaan (NTC) kami untuk membuka akaun di luar negara supaya mereka (peniaga) boleh membuat surat kredit (surat yang biasanya dikeluarkan institusi kewangan sebagai pembiayaan perdagangan) dan membolehkan sektor swasta mengimport sendiri barang perniagaan mereka,” katanya.
Pengerusi NTC, Mustafa Mohamed Abdel Jalil berkata, pihak pembangkang berharap bayaran gaji pekerja dapat dijelaskan pada awal Ramadan walaupun harapan ke arah itu nampaknya masih suram.
Mustafa bertegas bahawa Benghazi masih bertahan tetapi masih tiada pihak yang menyalahkan NTC walaupun masing-masing menunggu mendapatkan wang daripada aset beku Libya di luar negara.
“Kami sudah bebas tetapi tiada wang,” gurau Farah al-Misrati, salah seorang pelanggan yang sabar beratur di luar bank.
“Pihak bank asyik memberitahu kami mereka kehabisan wang. Keadaan ini menyebabkan Ramadan kali ini lebih sukar,” kata Hussein Mohammed, 28 yang bekerja sebagai polis.
Seorang lagi pelanggan, Khaled al-Mabny mencelah, “Penyelesaiannya harus datang dari luar. “Kami ada banyak dana beku di luar negara. Orang Libya sebenarnya kaya.” - AFP