Perbankan Islam, Wang Kertas & Back Door Riba (Video)
Benarkah bank Islam boleh menjadi ISLAM sedangkan ia bernaung di bawah sistem konvensional bank dan ekonomi? Bagaimana pula dengan penggunaan wang kertas dan tercipta melalui proses riba tentunya. Terdapatkah 'back door riba' dalam amalan perbankan Islam, disebabkan mereka mengambil untung yang lebih tinggi berbanding bayaran secara tunai?
Mengapa ulama Islam mengharuskan muslim untuk terus duduk dalam sistem kewangan Islam ini. Adakah mereka begitu 'kurang ilmu' sehingga tidak nampak keburukan wang kertas dan fractional reserve system?. Adakah anda begitu unik dan genius di dalam dunia ini sehingga nampak satu perkara yang gagal difahami ulama dan pejuang kewangan Islam di seluruh dunia? atau rupanya kita yang tidak nampak ada yang dilihat dan disasarkan oleh ulama sedunia?. Siapa yang kurang ilmu?
Dengarkan sedutan dari rancangan secara langsung rancangan Tanyalah Ustaz di TV9 pada 31 Dis 2010 sehingga 2 Januari 2011 yang lalu. Dengarkan secara realiti atau idealis dan fikirkan dengan amanah serta bersangka baiklah sebelum memenuhkan jiwa dengan pelbagai sangkaan buruk. Buanglah perasaaan hasad dan benci tanpa usul periksa dan memahami letak duduk situasi yang sebenarnya.
Janganlah sama sekali memotong-motong kenyataan yang diberikan dan memanupulasinya sehingga nampak buruk dan salah serta anti-usaha mengembalikan dinar emas.
Dengarkan secara adil betapa saya menyokong usaha mengembalikan matawang emas dan perak, namun juga menyokong usaha dan ijtihad ulama majoriti di seluruh dunia yang membenarkan perjuangan sistem kewangan Islam melalui sistem yang wujud hari ini.
Proses pemulihan berjalan secara beransur, selaras dengan kekuatan demand dan supply serta proses pengajaran ‘man power’ yang baru menceburi bidang ini. Proses pengajaran ini meliputi ‘bankers’, ‘lawyers’, ‘regulators’, ‘Shariah advisors’, politicians, administrators, ‘customers’ termasuk diri anda juga.
Disertakan tiga petikan video bagi memberikan sedikit ulasan InshaAllah beberapa video lagi akan menyusul dan perhatikannya di youtube. Inshaallah.
VIDEO 1
VIDEO 2
VIDEO 3
Sekian
Sukarnya Isu Riba & Tempelak Mufti ?
Justeru tidak perlulah, menafikan keilmuan seseorang ustaz yang tersilap dalam menyertai skim itu dan ini. Keadaan ini hanya akan menyebabkan ia cuba menegakkan benang basah kerana menjaga air mukanya. Semuanya disebabkan oleh desakan dan takut dianggap tidak alim oleh orang awam.
Tidak perlu juga menempelak para mufti, JAKIM dan lain-lain kerana senyap sunyi dari pelbagai isu kewangan di sekeliling. Kesimpulannya, ia memang sukar dikaji. Tambahan pula jika yang ditanyakan adalah sebuah skim ganjil, syarikat atas angin, tiada lesen dan sebagainya. Sudah tentu semakin kurang semangat pihak berkuasa seperti JAKIM untuk mengkajinya. Sebagaimana juga JAKIM enggan menyemak dan mengesahkan produk makanan yang dihasilkan oleh kilang tanpa lesen dan mencapai standard tertentu.
Ingin saya tegaskan adalah kerumitan hal ehwal riba ini memang bukan calang-calang bidang, malah ia juga sukar buat semua ilmuan Islam termasuk para sahabat Nabi s.a.w, tabien dan ulama besar sejak zaman silam lagi.
Khalifah Umar Al-Khattab r.a berkata :
ثلاث وددتُ أن رسول الله صلى الله عليه وسلم عهد إلينا فيهنّ عهداً ننتهي إليه : الجد ,والكلالة , وأبواب من أبواب الربا
Ertinya : "Tiga perkara yang amat aku harapkan agar Rasulullah s.a.w sempat bersama kami sehingga kami jelas berkenaannya : Hal kedudukan datuk (dalam waris), Kalalah (waris yang tiada anak dan ibubapa), dan bab-bab berkaitan riba" (Riwayat Al-Bukhari ) [1] Beliau juga disebutkan berkata :-
إنا والله ما ندري لعلنا نأمركم بأمور لا تصلح لكم , ولعلنا ننهاكم عن أمور تصلح لكم وإنه كان من آخر القرآن نزولا آيات الربا , فتوفي رسول الله قبل أن يبينه لنا . فدعوا ما يريبكم إلى ما لا يريبكم
Ertinya : Sesungguhnya demi Allah, tidaklah kami ketahui mungkin kami menyuruh kamu sesuatu, rupa-rupanya ia tidak baik buatmu (kerana riba), dan mungkin juga kami melarangmu dari sesuatu perkara yang rupanya baik (halal tetapi disangka riba) buatmu, ini kerana ayat berkaitan riba adalah antara ayat terakhir yang diturunkan, dan baginda Nabi s.a.w wafat sebelum sempat menjelaskannya (secara terperinci) kepada kami, Justeru tinggalkan yang meragukan kepada yang tidak meragukan" ( Riwayat Ad-Darimi ) [2] Selain itu Imam Ibn Kathir pula berkata :-
باب الربا من أشكل الأبواب على كثير من أهل العلم
Ertinya : "Bab Riba adalah dari bab yang paling sukar bagi kebanyakkan ahli ilmu (ulama)" ( Tafsir Al-Quran al-Azim, 1/327 )
Tegas Imam Abu Hamid Al-Ghazzali (wafat 505 H) pula :
مسألة الربا ..أغمض المسائل
Ertinya : "Bab riba adalah masalah-masalah yang paling sukar dan mengelirukan" ( Syifa al-Ghalil fi Bayan As-Shabah, hlm 359)
Pakar ilmu Usul Fiqh dan Maqasid Shariah, Imam As-Syatibi (wafat 790 H) mengatakan :-
إن الربا محل نظر يخفي وجهه على المجتهدين , وهو من أخفى الأمور التي لا يتضح معناها إلى اليوم
Ertinya : "Sesungguhnya riba adalah tempat penelitian yang kerap tersembunyi dari mujtahidin, dan ia adalah dari perkara yang paling tersembunyi serta kurang jelas maknanya sehingga ke hari ini" ( Al-Muwafaqat fi Usul Al-Ahkam, tahqiq Muhydin Abd Hamid, 4/42)
Justeru dengan ini tidak timbul lagi isu,
"kenapa ramai ustaz tidak faham?"
"kenapa ustaz seorang sahaja yang kelihataan bersungguh dalam isu ini, ustaz lain tidak ada pun"
Itulah salah satu dari jawapannya.
Kesimpulan
Hukum asal seluruh urusniaga perniagaan dalam apa jua bentuk adalah harus kecuali ada dalil yang membuktikannya haram.
Apabila telah wujud dalil menunjukkan ia haram serta tiada hujjah balasan konkrit untuk menafikannya, sesuatu urusniaga itu paling pun akan bertukar menjadi syubhat, jika tidak menjadi haram.
Islam mengajar kita agar menjauhi syubhat sebagaimana yang disebut Umar Al-Khattab tadi walaupun terpaksa mengorban 9/10 cara niaga yang mungkin halal.
Janganlah terlalu liberal sehingga terlalu mudah menghalalkan sesuatu urusniaga tanpa diteliti, kelak ia akan menyusahkan di barzakh.
Jangan pula mengharamkannya tanpa dalil dan logik pendalilan (wajh istidlal) yang sesuai. Kelak akan menyusahkan diri dan memundurkan agama.
Oleh kerana keharusan urusniaga tidak memerlukan dalil, maka saya dan web saya ini banyak memfokuskan kepada perkara yang haram disekeliling. Tidak perlu dipeningkan kerana yang haram itu sedikit, yang harus itu banyak.
Memang saya fokus kepada pendedahan skim & urusniaga haram berbanding menyebar luaskan yang harus, kerana yang harus tidak memerlukan banyak promosi berbanding yang haram kerana terjebak dalam yang haram merosakkan iman, barzakh dan akhirat.
Jika masih pening, silalah ke web yang tidak memeningkan. Adapun bagi saya, pening di dunia kerana kurang duit halal lebih elok dari pening di barzakh kerana banyak azab akibat banyak duit haram.
Akhirnya Nabi s.a.w bersabda :-
دع ما يريبك إلى ما لا يريبك
Ertinya : "Tinggalkanlah apa yang kamu ragui kepad aapa yang tidak diragui" ( Riwayat Al-Bukhari, no 1946, 2/733 )
Bukankah Nabi telah memberi jaminan kebaikan buat mereka yang menjauhi syubhat dengan katanya juga:-
فمن اتقى الشبهات استبرأ لدينه وعرضه ومن وقع في الشبهات وقع في الحرام
Ertinya : Barangsiapa yang menjauhi syubhat, telah selamatlah agamanya dan kehormatannya, barangsiapa yang menyertai syubhat, ia seolah telah jatuh dalam yang haram" ( Riwayat Muslim, no 1599, 3/1219)
Fikirkanlah.......
DATA DR ZAHARUDDIN.NET
Sekian WASALLAM